Sahabat..saling melengkapi dan menguatkan

*•☆°•✽✽Sahabat..saling melengkapi dan menguatkan✽✽•°☆•*

☆•☆•Assalamu'alaikum`warahmatullahi`wabarakatuh•☆

ღ☆ღBismillahirrahmanirrahiim...

❀¸.••.❀ ..••.¸✿ ✿¸❀¸.••.❀

“Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya”
[Hadis riwayat Muttafaq ‘Alaih]

Suatu ketika, Rasulullah s.a.w. berkata di hadapan para sahabatnya yang dikasihinya:

"Sesungguhnya, di kalangan hamba-hamba Alah ada beberapa orang yang bukan para nabi dan bukan syuhada, tetapi para nabi dan syuhada menginginkan kedudukan yang diberikan oleh Allah kepada mereka."

Lantas, para sahabat bertanya:

"Wahai Rasulullah, khabarkanlah kepada kami, siapakah mereka itu?"

Rasulullah menjawab:

"Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah bukan kerana hubungan kerabat di antara mereka. Juga bukan kerana harta yang saling mereka berikan. Demi Allah, wajah-wajah mereka adalah (seperti) cahaya dan mereka berada di atas cahaya. Mereka tidak takut tatkala manusia ketakutan dan tidak bersedih hati tatkala manusia bersedih hati."

Kemudian Rasulullah s.a.w. membaca ayat:

"Ingatlah, sesungguhnya, wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Yunus:62)" [Hadis riwayat Ahmad]

Beruntunglah orang-orang yang berukhuwah. Mereka yang saling mencintai kerana Allah dan semestinya bukan kerana kepentingan-kepentingan berbentuk duniawi.

"orang yang bukan para nabi dan bukan syuhada, tetapi para nabi dan syuhada menginginkan kedudukan yang diberikan oleh Allah kepada mereka."

Lihat, Allah memberikan mereka kedudukan istimewa di sisiNya. Segolongan manusia yang dicemburui para nabi dan syuhada. Beruntunglah mereka...

Pasti kita pernah menerima pesanan ringkas dari sahabat kita (sama jantina) untuk meluahkan cinta dan kasihnya.."aku mencintaimu kerana Allah", "ukhuwah fillah abadan abada", "uhibbukifillah" dan seumpanya.

Berbicara tentang ukhuwah, ternyata tidaklah semudah apa yang dilafazkan.

Suatu malam, bertanya kepada seorang sahabat.
"Akak, kenapa bila dengan akhawat hati terasa lebih sensitif.? Tidak seperti kawan-kawan biasa yang kita banyak berlapang dada dengan mereka." Jawapan ringkas diberikan kepada saya. "Kerana kita mempunyai expectation terhadap akhawat. Sedangkan, mereka juga manusia biasa".

Terasa terpukul dengan jawapan yang diberi. Logiknya benar-benar ada.

Ya, kerana namanya akhawat. Dan akhawat tidaklah sekadar panggilan atau gelaran. Tapi, si pembawa nama akhawat itu juga membawa bersama sikap-sikap dan akhlak-akhlak yang asas bagi seseorang yang bergelar akhawat. Ayat mudahnya, "akhawat sepatutnya ini dan itu.." Maka tidak hairanlah, apabila sebaliknya berlaku yang mana seorang akahawat itu bersikap di luar daripada expectation yang sepatutnya, hati menjadi sensitif. Terlupa bahawa yang namanya akhawat itu, juga seorang manusia biasa dan bukannya malaikat. Yang pastinya tidak terlepas melakukan kesalahan.

Kadang-kala, mudahnya kita menghukum akhawat sendiri. Ataukah ia kerap berlaku?

Indikator "akhawat sepatutnya ini dan itu" juga ada baiknya. Sepertimana kita sebagai seorang Muslim, yang namanya seorang Muslim pasti sepatutnya ada bersamanya akhlak-akhlak asas seorang Muslim. Muslim tidak seharusnya pada nama saja, namun Islam harus terpancar juga melalui peribadinya. Jika ada yang tersasar, itu menunjukkan ada sesuatu yang tidak 'kena'.

Nah, begitu jugalah dengan akhawat. Benarkah sudah tertarbiyyah? 10 muwassofat menjadi ukurannya. Namun, jika ada yang tidak terpenuhi jangan cepat menghukum. Tanyalah diri sendiri dahulu, "berikan 70 sebab kenapa harus aku katakan dia sedemikian rupa".

Tahap minimum ukhuwah iaitu berlapang dada, adakalanya terasa berat juga untuk mengekalkannya. Apatah lagi tahap tertinggi, itsar iaitu melebihkan sahabat lain ke atas diri kita. Ukhuwah itu buah keimanan. Tatkala itu, refleksikanlah ia dengan kondisi iman kita. Makin rendah tahap ukhuwah maka tahap rendah itu jugalah ukuran iman.

Dalam berukhuwah, hal-hal remeh pun boleh menjadi sesuatu yang akan membuat hati cepat terasa. Seorang ukhti, balik ke rumah sewa dengan keletihan dan lapar. Penuh mengharap agar makanan ada diasingkan untuknya. SMS siap dihantar sebagai peringatan. Setelah sampai, kecewanya hati apabila tiada apa yang tinggal. "takkan tak tinggalkan sedikit pun. Kan dah bagitau tadi. Aku pun ahli rumah ni juga" bisik hati yang menahan geram daripada dilontarkan. Atau, ukhti A menyapa ukhti B dan bertanyakan khabar. Ukhti C yang di sebelah B tidak pula disapanya apatah lagi bertanyakan khabarnya. Terasalah pula si ukhti C...

Sekali lagi, berbicara tentang ukhuwah, ternyata tidaklah semudah apa yang dilafazkan.
Sensitiviti seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain seringkali menduga. Meskipun pada hal-hal yang kita anggap remeh.

“Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya”
[Hadis riwayat Muttafaq ‘Alaih]

Rasulullah juga mengajar kita erti sensitiviti. Tatkala satu anggota sakit, terasakah anggota yang lain?

Pada saat ini, di mana sahabat-sahabat kita? Apa khabarnya? Pedulikah kita dengannya?

Pernah satu penyataan saya dengari. "Ukhuwah itu hanya ada ketika adanya amal dakwah yang menuntut. Bila ada, semua sibuk mencari sahabat itu. Tatkala tiada, maka semua senyap saja dan tiada di sampingnya"
Saya yang masih belajar untuk berukhuwah, tercabar juga mendengarnya. Tercabar dalam erti kata menghadkan pengertian ukhuwah sebatas amal-amal dakwah saja dan bersua muka dengan sahabat yang lain.

Agar berlapang dada itu ada, dan agar tidak cepat menghukum, cuba untuk memahami kondisi sahabat itu dan hakikat yang berlaku.

Mungkin, dalam hatinya menuntut sebuah perhatian dari sahabatnya. Kepedulian terhadapnya. Dan dia merasakan, akhawatlah sebaik-baik teman. Di kala itu, jiwanya sunyi lantas menagih peduli dari akhawat. Merajuknya pada akhawat barangkali.

Sahabat yang tidak sentiasa ada bersama, bukan bermaksud tidak berukhuwah. Mungkin kerana tompokan kerja dan tugasan-tugasan yang menghambatnya untuk tidak kerap bertemu. Tautan ukhuwah tidak terletak semata-mata pada kerapnya bertemu, tetapi tautan hati itulah yang menjadi pengikat antara kedua-duanya. Tapi tidaklah mengatakan bahawa pertemuan-pertemuan itu tidak penting. Ada juga kepedulian meskipun sedikit.

Sahabat yang mencari-cari kita di kala diperlukan dan senyap saja ketika tidak diperlukan, bukanlah bermaksud dia tidak berukhuwah. Tatkala dia memerlukanmu untuk suatu amal dakwah bererti potensimu diperlukan dalam dakwah. Tatkala tidak dicari, janganlah pula mudah terasa sehingga pesimis terhadap sahabat-sahabat yang lain. Fikiran sentiasa terbuka untuk segera membuat konklusi dan menghukum. Namun, fikiran juga sentiasa terbuka untuk diperbetulkan mind setting dari semasa ke semasa. Berikanlah 70 alasan dahulu sebelum memberi konklusi akan sesuatu.

Namun, dalam kedua-dua hal ini, tidaklah menuntut kejernihan fikiran dan tindakan daripada satu belah pihak saja. Kedua-duanya juga perlu. Jika sibuk, carilah masa-masa untuk bertemu juga dan tidak menghilangkan diri begitu saja. Jika tiada hajat atau keperluan ke atasnya, sesekali bertanyalah khabarnya dan kebajikannya. Sekurang-kurangnya, itu dapat mengembirakan hatinya.

Dalam berukhuwah, banyak hal yang akan diuji. Kelemahan demi kelemahan sahabat akan kita ketahui. Bahkan betapa kerapnya berlaku, sesuatu yang kita tidak suka ada pada sahabat-sahabat kita itu..Jangan melarikan diri namun hadapilah. Ketegaran hati dan emosi pasti akan terbina dan kita pun akan semakin mudah menerima kelemahan orang lain. Kita juga mempunyai kelemahan bukan? Jika sahabat mengalami situasi yang sama, sudah pasti dia juga teruji. Adilkah untuk cepat menghukum dan beremosi dengannya?

Jelas, berukhuwah tidak sekadar berta'aruf. Tapi perlu melalui dua lagi proses iaitu tafahum dan takaful. Saling memahami dan saling memikul beban. Tafahum tidak akan berjalan dengan baik jika tiadanya ta'aruf dan takaful juga tidak akan berjalan baik jika tiadanya tafahum.

Kenapa mudah terasa dengan sahabat yang kita rapat berbanding sahabat-sahabat yang kurang rapat? Kerana, kita sudah berta'aruf dengannya dan mengetahui banyak hal tentangnya. Sedangkan yang satu lagi kita berta'aruf dengannya namun masih kurang mengenalinya, sikap dan peribadinya..

Walau apapun yang berlaku ke atas mereka, meski di manapun mereka berada kini dan tidak bersama, tetaplah menjaga nama baik sahabat-sahabat kita. Tetaplah mendoakan kesejahteraan mereka.

“Sesiapa yang mempertahankan maruah kehormatan saudaranya nescaya Allah akan menjaga wajahnya dari seksaan api neraka di hari kiamat”.
[Hadis riwayat Tirmidzi]

“Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: Amin dan bagimu seperti itu juga”.
[Hadis riwayat Muslim]

Tidak jarang, kita sering mengharap agar sahabat kita begini dan begitu..
Tidak jarang juga, kita mengharap agar sahabat tidak berbuat sesuatu yang di luar daripada expectation kita. Begini dan begitu kerap ditagih agar mereka memberi kepada kita...

"alangkah sulitnya mencari sahabat sejati, "
kata seorang teman "tak kutemukan walau telah kujelajahi bumi, negeri demi negeri"
aku tersenyum menepuk pundaknya, "mungkin itu sebab yang kau cari adalah sahabat untuk memberi, adapun sahabat untuk diberi bertebaran di seluruh penjuru bumi"
[Salim A.Fillah- Dalam Dekapan Ukhuwah]

Comments
0 Comments

0 komentar:

Posting Komentar


 

Feedjit

Featured Posts

lihat lebih banyak animasi klub bergerak